Latest Entries »

Wednesday 8 April 2009

Ibu..Ummi..

Bermulanya satu cerita...

Ruang yang tadi terang benderang, tiba-tiba menjadi gelap (suspenn!!). Hajat di hati ingin membaca sebelum melelapkan mata terpadam dek kegelapan malam.Aku* bingkas bangun dari katil, menuju ke pintu. Tujuan di hati ingin meninjau ke bilik anak-anak.



" Tentu mereka sedang tidur lena.." getus hati sambil tangan meraba mencari tombol. Namun...

" Ummi, Kak Long dan Kak Ngah tak boleh tidur.. ada nyamuk..panas pula tu." Belum sempat pintu bilik dibuka, anak-anak lebih dulu menyua muka. Terpisat-pisat mereka mengesat mata. Dalam kesuraman cahaya bulan purnama yang masuk menembusi tingkap bilik, aku mendorong mereka ke katil. Suamiku kebetulan tiada di rumah kerana berprogram di luar kawasan.

" Kak Long dan Kak Ngah tidur dengan Ummi ye...elektrik tak ada malam ni ."

Oleh kerana masih mengantuk, mereka menurut sahaja tanpa banyak bicara. Aku mengambil majalah yang tadi ingin dibaca, kujadikan kipas untuk menyejukkan sedikit pusaran udara sekitar bilik kecilku.

" Kak Long dan Kak Ngah tidur ye, Ummi tolong kipas. Nanti sejuk sikit.." Aku berkata. Sempat telinga mendengar dengungan si nyamuk. Sambil mengipas, aku membuka mata luas, kalau-kalau ada nyamuk yang datang hinggap di tubuh anak-anakku..kasihan mereka. Terpaksa melelapkan mata dalam keadan tidak selesa begitu.


Itu di dunia...Entah mengapa sambil mengipas dan menampar nyamuk yang hinggap seekor dua, fikiran melayang mengenang keadaan di akhirat sana.


Di sini, aku masih boleh menjadi 'penyelamat' anak-anak dari situasi yang tidak menyenangkan. Mereka juga tetap mencari Ummi mereka ini untuk mengadu nasib diri. Bagaiman di sana nanti ? Mampukah lagi aku menjadi penyelamat mereka dari terjunam ke lembah neraka...Na'uzubillah. Dan, adakah anak-anakku mencari Ummi ini sekadar untuk menagih janji..


" Dulu di dunia, Ummi kata Ummi sayang kami. Sekarang ini kami minta bukti ".. mungkin itu jerit mereka. Di depan titian Sirat menanti..di bawahnya jurang neraka berapi.

" Kami tak bersalah, Ummi kami yang menjadikan kami tidak solehah..Salah kami tidak ditegur, silap kami tidak diperbetul. Lantas, kami terus dengan diri sendiri..Pakaian kami tidak ikut syariat. Ummi kata, tak mengapa kerana kami masih belum dewasa. Solat kami culas, Ummi kata tak mengapa. Dah baligh kelak, baru Ummi galak. Gelak tawa kami berdekah-dekah. Ummi buat tak endah. Ummi kata, tak mengapa. Dah besar nanti, baru Ummi menyapa..jangan begitu bila ketawa."

" Namun belum sempat Ummi menegah, Ummi lebih dulu meninggalkan alam ini. Kami dah biasa begini, terus dewasa tanpa panduan ilahi. Mari Ummi, terjun bersama kami..selayaknya kita di sini " kata mereka lagi, lantas pantas mencapai tanganku ke tepian api..


Astaghfirullah..Aku terjaga dari lena. Tertidur rupanya. Ku toleh ke sisi, anak-anak masih dibuai mimpi. Bilik yang tadi suram, telah kembali terang. Terngiang-ngiang lagi 'jeritan' anak-anak dalam mimpiku tadi. Perlahan-lahan aku bangun. Sementelah, belum masuk Subuh, aku ingin munajat pada Ilahi, mohon kekuatan dan petunjuk. Jangan 'peristiwa' dalam mimpi menjadi realiti.

Untuk renungan wanita bergelar ibu dan bakal ibu,

kamu sekian lama berbangga kerana syurga di bawah telapak kaki kamu, namun sepatutnya kamu lebih dulu insaf, kerana syurga atau neraka seorang anak, kamulah pencorak pertamanya.
Buat kaum adam juga, kamu juga lah penentu syurga mahupun neraka bakal isteri dan anak-anak kamu kelak. semoga kita sama2 beroleh manfaat

Pesanan Ku - P/s/k: korg dah cukup matang, korg ade otak, pk la sendiri..

*"aku" dalam cerita diatas bukan aku. aku ne lelaki dan masih bujang!!

sekadar berkongsi saja,